SEJARAH PERODUA VIVA 「 MYPeroduaclub 」



Perodua ViVA merupakan kereta terbaru yang dihasilkan oleh Perodua atau Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. Perodua ViVA telah dilancarkan pada 10 Mei 2007. Asalnya dirancang sebagai pengganti Perodua Kancil dan Perodua Kelisa, kereta kompak ini cuma dipasarkan untuk menggantikan Kelisa sahaja, manakala Kancil akan terus dijual. Perodua ViVA ini direka berdasarkan generasi keenam Daihatsu Mira. Semua versi enjin yang digunakan - 660cc, 850cc dan 1,000cc - menggunakan enjin DVVT Daihatsu.

'Viva' merupakan istilah bahasa Latin yang bermakna 'Untuk Hidup' dan ia sering menjadi ungkapan penghormatan yang juga bermakna 'Selamat Panjang Umur'. Model Viva adalah pengganti kepada model popular Perodua iaitu Kelisa. Harga atas jalan Viva ialah antara RM28,400 hingga RM43,800 sebuah dan ditawarkan dalam lima pilihan warna. Isian penuh tangki kenderaan boleh memuatkan 45 liter petrol.

Bagi kereta dengan keupayaan enjin 660cc dan 850cc, Viva menggunakan sistem transmisi manual lima kelajuan. Kereta dengan enjin 1,000cc pula dibahagikan kepada dua iaitu "Standard" dan "Premium". Bagi Standard SX dan Premium SXi, ia menggunakan transmisi manual lima kelajuan. Transmisi automatik empat kelajuan pula boleh didapati pada model Standard EZ dan Premium EZi.

Viva menggunakan enjin tiga silinder dan 12 injap yang dipertingkatkan dengan teknologi pemasaan enjin berjujukan injap dinamik (DVVT), aci sesondol atas kembar (DOHC) dan sistem minyak suntikan bahan api elektronik (EFI). Elemen EFI itu merupakan yang pertama seumpamanya dipasang pada kereta enjin 660cc dan 850cc dalam mana-mana model Perodua.


Kereta keupayaan enjin 1,000cc iaitu Premium dengan transmisi manual atau automatik juga menawarkan beg udara SRS berkembar. Varian Premium juga dilengkapkan dengan sistem brek anti kunci (ABS) dan Edaran Brek Elektronik (EBD). Antara ciri paling menonjol Viva ialah panjang ruang dalamannya iaitu 1,845 milimeter yang disifatkan terpanjang dalam segmen kereta kompak, sekali gus menjamin keselesaan penumpang.

Pergerakan keluar masuk juga mudah kerana keempat-empat pintunya boleh dibuka 90 darjah. Ciri-ciri tambahan lain ialah pengubah kedudukan kerusi, pemain audio CD, cermin sisi elektronik dan butang kawalan keempat-empat cermin (bagi keupayaan enjin 850cc dan 1,000cc sahaja).

Idea menghasilkan Perodua ViVA bermula pada 2005 membabitkan 124 vendor yang bekerjasama rapat dengan Perodua bagi mengeluarkan lebih 1,000 komponen secara tempatan. Hasilnya, Perodua ViVA mempunyai kira-kira 90 peratus komponen tempatan sepenuhnya, menjadikannya antara kenderaan yang paling tinggi kandungan tempatan setakat ini.

0 Berbicara: